Pihak Jabatan Kokurikulum, Pusat Kokurikulum, Sukan dan Kebudayaan telah mengadakan Bengkel Kokurikulum (Akademik) untuk SISPA UTHM yang telah diadakan di Avillion Legacy Hotel, Melaka pada 23 hingga 25 Oktober 2009. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincangkan penubuhan SISPA di UTHM. Antara perkara yang dibincangkan adalah struktur pentadbiran SISPA, silabus SISPA, buku panduan SISPA dan struktur organisasi pengurusan SISPA di UTHM.
Pada 19 Januari 2010, kertas kerja penawaran kursus berkredit SISPA telah diluluskan di Peringkat Jawatankuasa Pengajian Mengenai Penubuhan Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademik, Institusi/Program Baru/Pengambilan Pelajar dan pada 3 Februari 2010, ianya telah diluluskan oleh Senat Universiti.
Kursus SISPA ini merupakan kursus kokurikulum berkredit iaitu SISPA I, SISPA II, SISPA III, SISPA IV, SISPA V dan SISPA VI. Setiap kursus tersebut mewakili 1 kredit. Pelajar akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda sekiranya menamatkan ke enam-enam kursus tersebut. Modul utama yang diajar adalah selaras dengan kehendak JPAM dan universiti iaitu melawan kebakaran, pertolongan cemas dan menyelamat tempat tinggi.
Bagi mengembangkan potensi dan aktiviti SISPA di UTHM, pihak universiti telah menyediakan sebuah pejabat lengkap beserta dengan kelengkapan pengajar manakala pihak JPAM membantu dari segi tenaga pengajar dan staf pentadbiran pejabat SISPA. Seramai 78 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan 2 merupakan anggota pertama yang mendaftar sebagai SISPA UTHM pada sesi 2009/2010 semester 2 yang lepas.
Pada 29 April 2010, permohonan untuk Penubuhan Kor SISPA bagi UTHM telah diluluskan oleh JPAM beserta nombor pendaftaran SISPA UTHM.
Majlis Pelancaran Penubuhan SISPA di UTHM dilancarkan pada 13 Jun 2010 pada jam 3.30 petang di Dewan Peperiksaan F2 (Bawah, UTHM dan akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri. Sehingga kini bilangan SISPA di IPTA adalah 7 IPTA iaitu UiTM, UMT,UMP,UMS,USIM, UNIZA dan UTHM.
kemaskini: 6 Ogos 2010